Behrang, 21 April 2024 – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menganjurkan Kejohanan 17TH FIRA Malaysia Cup 2024 di mana Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) telah dipilih sebagai tuan rumah dan penganjur bersama bagi edisi kali ini. Majlis perasmian pembukaan kejohanan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, malam ini. Kejohanan ini bermula pada 21 sehingga 26 April 2024, melibatkan seramai 978 peserta daripada 27 politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara dengan sembilan (9) kategori dipertandingkan iaitu Simurosot, AiBot, HuroCup, MyBot, Robosot, Androsot, Air Drone, Business & Innovation dan Autonomous Car Challenge. Bagi memperkasakan pelaksanaan program mySTEM, satu kategori MyBot juga diberikan penjenamaan semula yang dikenali sebagai MyBot Youth. Pelajar sekolah menengah yang terlibat akan dibimbing oleh mentor yang terdiri daripada pelajarinstitusi pengajian tinggi bagi mengasah kemahiran psikomotor dan penyelesaian masalah secara lebih berfokus seiring dengan keperluan semasa industri. Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang kejohanan ini berlangsung seperti pameran industri, aktiviti CSR, seminar dan bengkel perkongsian ilmu, promosi POLYCC yang bakal menerima lawatan dan kehadiran daripada pelajar-pelajar sekolah menengah menerusi sesi ‘guided-tour’. Hadir sama ialah Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Encik Mohd Noor bin Shahudin merangkap Presiden FIRA Malaysia Chapter, Ts. Haji Mohd Zulkefli bin Ibrahim, Pengarah PSAS merangkap Pengelola Kejohanan 17th FIRA Malaysia Cup 2024, Pengarah-pengarah Bahagian JPPKK, Pengarah-pengarah POLYCC dan barisan peserta kejohanan.